BANDARAYA MELAKA, 5 JANUARI 2012 - Program Jelajah Berbasikal Melaka sempena sambutan 750 tahun penubuhan Melaka yang melengkapkan laluan sejauh 254 kilometer dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records (MBR).
MBR mengiktirafkan program dua hari itu sebagai konvoi berbasikal mengharungi laluan terpanjang dan membabitkan ramai peserta iaitu 16000 orang.
Lebih istimewa apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengetuai program itu berjaya menamatkan kayuhan selama dua hari yang turut menjelajah kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Omar Kaseh, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad, Ir Mohd Khalid Nasir, Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Koprat dan Pentadbiran SAMB, Muhammad Tompang.
Pada hari pertama, Mohd Ali berjaya melengkapkan laluan sejauh 126 kilometersebelum disusuli jarak 128 kilometer bagi menamatkan kayuhan sempena program itu di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Diiringi kira-kira 500 peserta termasuk ahli Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ketua Jabatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)dan orang ramai, beliau berjaya ke garisan penamat kira-kira pukul 6.20 petang.
Program kayuhan basikal itu diadakan sebagai pembuka tirai sambutan 750 tahun penubuhan Melaka yang akan diadakan selama setahun sehingga 31 Disember ini. SAMB turut mengharungi cabarandalam program penjelajahan itu.