Sejarah Awal Bekalan Air Melaka PDF Cetak E-mail
Rabu, 01 April 2009 11:54


Pembukaan Melaka pada tahun 1409 iaitu pada awal kurun masehi yang ke 15 tidak terdapat catatan secara terperinci bagi mengaitkan bagaimana sumber-sumber air digunakan oleh penduduk Negeri Melaka namun demikian Melaka telah dikenali sebagai sebuah pusat perniagaan, perdagangan dan penyebaran Agama Islam di rantau sebelah sini.

Kedatangan Portugis dalam Tahun Masehi 1511 tidak juga ditemui secara sistematik bagaimana pemerintahnya mengendalikan bekalan air. Semasa Portugis mendiami Melaka, perigi telah wujud di sekitar Kota dan Bukit Cina. Perigi Raja cukup terkenal hingga ke zaman Belanda. Keupayaannya adalah kepada kapal-kapal layar yang berlabuh dan bekalan semasa pelayaran.

 


 

Kerajaan Portugis Melaka dipercayai telah mengerahkan tenteranya dan rakyat tempatan menggali perigi di sekitar kota dan tempat-tempat kediaman pembesarnya dan di unit tenteranya. Manakala penaklukan Belanda telah menguatkan peraturan menggali perigi ini kerana rakyat tempatan telah mengambil kesempatan memperniagakan air tadi. Tindakan ini telah memaksa pihak Belanda mengenakan cukai ke atas orang-orang yang menggali dan mempunyai perigi.

Pengagihan air perigi di Kota Melaka adalah dengan kandar, kereta sorong, kereta kuda, kereta lembu dan kereta kerbau. Penduduk luar kota pula dipercayai menggunakan air sungai, hujan, kolam-kolam semula jadi dan danau. Sungai Melaka dan Sungai Ayer Leleh pada asalnya mengalir di kiri dan kanan Kota Melaka menandakan titik awalnya penggunaaan sumber air tersebut sebelum datangnya teknologi penghantaran air melalui sesalur bekalan.

Perkembangan ilmu pengetahuan di Perancis dengan penubuhan Kesatuan Pengajian Kejuruteraan pada 1hb. Februari 1716 di Paris yang mendukung cita-cita memajukan kejuruteraan sains dalam pembinaan jambatan yang mempunyai kaitan rapat dengan pembinaan struktur bekalan air maka pada tahun 1774 Sekolah Jurutera pertama diwujudkan di tempat yang sama.

Pada zaman tersebut belum ada paip sesalur yang boleh menahan tekanan dalaman dicipta maka bekalan air ke kediaman awam adalah melalui palung air atau “aquaducts” dan pembuatannya bergantung kepada pengalaman masa lampau dan disokong dengan ciri-ciri keselamatan yang am.

Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang beribu pejabat di Goa, India dan telah dipindahkan ke Pulau Singapura dan akhirnya ke London semula telah berusaha bagi mengadakan satu sistem bekalan air di negeri-negeri jajahannya. Maka pada tahun 1898 sebuah kawasan di Mukim Bukit Katil telah dipilih bagi pembinaan sebuah Empangan Tanah yang merupakan asas kepada sistem bekalan air moden dan bersistematik di Melaka.

Sebagaimana yang diketahui apabila Inggeris mengambil alih Melaka pada 17hb. Mac 1824 menerusi “Perjanjian London” iaitu penyerahan Pulau Jawa kepada Belanda maka penumpuan pembangunan Negeri Melaka dititikberatkan.

Walaupun Singapura telah melaksanakan sebuah program bekalan air dari Thomson Road Reservoir atau Mac Ritchie Dam pada tahun 1857 menerusi palung batu bata “Aquaducts” namun demikian kerja-kerja bekalan air yang bersistematik telah dimulakan pada tahun 1890 dengan membina semula Empangan Mac Ritchie dan siap pada tahun 1894.

Manakala di Pulau Pinang pula sebuah Kebok Penyekat Pemasukkan air di Air Itam telah dikesan wujud pada tahun 1889 dan pembinaan Kolam Air Terjun pula telah dicatatkan pada tahun 1892 manakala “Aquaducts” Batu Feringgi pula dibangunkan pada tahun 1928.

Melaka tetap bersama-sama Negeri-Negeri Selat yang lain mengatur program bekalan air awam di mana kawasan Hutan Simpan Bukit Beruang telah dibangunkan projek raksaksa pada tahun 1898. Jaiminan bekalan air ini telah membuatkan Inggeris bertapak terus di bumi Melaka dengan terdirinya H.M Jail (1860) di Jalan Bandar Hilir, Hospital Besar Melaka di Jalan Durian Daun, Rumah Rumah-rumah kediaman Pegawai Polis dan Magistrate di Jalan Bandasah dan Jalan Kota. Pejabat Jabatan Kerajaan di Jalan Padang Nyiru dan Jalan Riverside.

 


Kerancakan pertumbuhan sekolah Kerajaan, sekolah missionary Kristian, Maktab Perguruan, Pertubuhan agama dan sosial, pasar besar, panggung wayang serta rumah-rumah tumpangan membayangkan penekanan bukan sahaja ditumpukan kepada pembangunan ekonomi dan perkembangan rohaniah malahan ianya turut juga menyumbang kepada pembangunan fizikal dan material.


Reaksi rakyat Melaka terhadap pembangunan kian memuncak walaupun ekonominya mengalami dan menerima imbasan meletusnya Perang Dunia Pertama (1911-1914) dan Perang Dunia Kedua (1941-1944) namun demikian perkhidmatan bekalan air kepada rakyat tetap diteruskan. Penerusan rancangan pembangunan bergantung besar keupayaan menyediakan bekalan air yang memuaskan dan secukupnya. Pemerhatian dan penelitian lain perlu diambil kira dalam menggalakkan penyertaan sektor awam dan sektor swasta.

Selepas dari satu skim yang dilaksanakan lambat laun kerajaan terpaksa merancang skim bekalan air yang baru bagi memenuhi permintaan. Setiap rancangan yang hendak dilaksanakan memerlukan perbelanjaan mengurus yang besar dan keperluan tenaga-tenaga pakar serta mahir dalam pengurusan sumber-sumber air.

Bidang bekalan air ini merangkuini semua disiplin ilmu dan mempunyai kaitan yang sungguh meluas dalam kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal ,kejuruteraan elektrik, kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan sains fizikal yang ada kaitan rapat seperti kiinia, fizik, biologi, alam sekitar dan sains tanah.

 

Sumber: En Abd Rahim

Terakhir dikemaskini Rabu, 01 April 2009 12:10