|
Rabu, 01 April 2009 12:12 |
Sebelum kemunculan perigi di bumi Melaka, air permukaan tanah yang mengalir di atas kerak bumi akhirnya berhimpun dan menerbitkan beberapa buah anak sungai kemudianmya mengalir ke muara dan bersemadi di laut.
Air ini pada peringkat awalnya belum tercemar dan selamat digunakan. Setelah manusia bijak menggunakan tanah dengan penerokaan hutan bagi maksud pembangunan maka lama kelamaan penduduk yang bergantung dengan air asli tadi akan berikhtiar mendapatkan air yang boleh dikepong dan terhindar dari segala macam pencemaran. Pembersihan hutan menyebabkan akar tidak dapat mencengkam tanah dan ketibaan hujan akan menghakiskan tanah dan air sungai akan berubah warna, rasa dan baunya.
Salah satu sumber air dalam tanah yang timbul sebagai sebuah perigi ialah perigi Hang Tuah dan ia juga dipanggil air dalam tanah (batu) mengikut kaedah ilmu alam. Selain dari sumber air perigi tadi ada beberapa sumber lain yang tidak kurang pentingnya untuk kegunaan umum seperti air tasik semula jadi, air mata air, air hujan dan air laut adalah antara beberapa pilihan-pilihan lain yang boleh dimanfaatkan mengikut kesesuaian dan keperluan.
Peranan perigi sungguh besar dan bererti dalam pembinaan bangunan di Kota Melaka sehingga setiap premis yang hendak didirikan disyaratkan memasukkan dari mana sumber air harian akan diperolehi. Pelan-pelan bangunan akan diluluskan jika ada diperuntukkan sebuah perigi dan perletakkan perigi tersebut mestilah terlebih dahulu diluluskan oleh pihak berkuasa bangunan.
Kompleks persendirian seperti rumah kedai, panggung wayang, rumah tumpangan dan pasar dimestikan mempunyai sebuah perigi.
Dalam usaha membina dinding dalaman perigi ini penduduk sekitar kota pada zaman lampau menggunakan batu karang yang diperolehi di persisiran laut dan batu lada merah yang diperolehi di kaki bukit pendalaman kota. Beberapa buah perigi dijumpai masih mengekalkan batu batu tersebut. Contoh yang boleh kelihatan salah sebuahnya masih terdapat dalam kawasan Muzium Sejarah Melaka dan sebuah lagi di Perigi Raja Sam Poh .Kepentingan sumber air ini baik semasa musim hujan atau bagi keperluan musim kemarau. Perigi-perigi yang berselerak di kawasan Bukit Cina dan Bukit Gedong merupakan sumbangan penting kepada penyelesaian air gunaan harian penduduk Kota Melaka masa lalu.
Manakala luar Kota Melaka pula air perigi telah diangkut dan diagihkan dengan menggunakan kereta lembu, kereta kuda dan kereta kerbau dan tidak kurang juga menggunakan kereta sorong yang berodakan kayu. Tong kayu berbentuk silinder yang mempunyai satu alat pembuka digunakan sebagai cara menuang kedalam bekas-bekas air terdiri daripada tempayan, upeh besar dan tempat menyimpan air dari kulit binatang.
Air Legeh amatlah terkenal kepada penduduk Kota Melaka kerana ianya adalah air yang diisi ke dalam tong silinder yang diperbuat daripada kayu dan diletakkan diatas kereta lembu serta ditarik ke sekitar kota. Jualan air pada masa tersebut adalah satu tin minyak tanah berharga RM0.05. Air legeh ini diberi nama sempena terdapatnya perigi di legeh atau di lereng Bukit Cina dan Bukit Gedong. Luar Bandar Melaka Tengah pula kerajaan telah membantu penduduk desa membina perigi awam dan diperlengkapkan dengan pam tangan atau pam sedutan bagi kemudahan masyarakat tempatan. Biasanya perigi-perigi yang dibina oleh kerajaan sangat teguh serta bertembokkan batu bata di sekelilingnya. Ianya boleh kelihatan di dalam kawasan sekolah verkanular, balai-balai polis, pusat-pusat kesihatan luar bandar yang terpencil. Mengikut kiraan terdapat 80 buah sekolah verkanular di seluruh negeri Melaka pada tahun 1925 dan kini perigi-pengi tersebut mulai hilang ditelan pembangunan.
Perigi-perigi yang indah dan cantik boleh dijumpai di kawasan rumah pengurus ladang, rumah tumpangan lama dan di beberapa buah villa atau banglo khas. Ujian cerakinan kerap dibuat di perigi awam yang dibina oleh kerajaan manakala perigi di kawasan perladangan diperiksa oleh doktor ladang atau pegawai kesihatan kerajaan. Jabatan Kesihatan sentiasa cemas mengenai perigi-perigi yang dibina di kawasan pendalaman dan perigi-perigi yang dibina berdekatan sungai dan mana-mana kawasan mudah tercemar dari najis haiwan atau manusia. Pencemaran tanah dan sumber air belum lagi ketara sebelum merdeka tetapi ianya mulai merunsingkan apabila aktiviti-aktiviti manusia kian berleluasa yang boleh menjejaskan kualiti air dan akhirnya melibatkan kesihatan awam.
Walaupun banyak lagi perigi-perigi yang telah dibina oleh Kerajaan Feringgi, Belanda dan Inggeris namun demikian semuanya tidak lagi menjadi penting setelah sistem bekalan air menerusi paip sesalur diperkenalkan di Negen Melaka. Rakyat Melaka yang bergantung hidup dengan perigi kian berkurangan dan ianya hampir pupus. Mengikut kajian badan berkuasa bekalan air pada tahun 1990 terdapat 95 peratus penduduk bumi Melaka telah disediakan perkhidmatan bekalan air melalui paip sesalur.
Sebelum wujudnya undang-undang bagi mengatur dan menyusun kehidupan manusia dalam pemilikan tanah dan air maka beberapa contoh sistem pemilikan dipercayai telah dipraktikkan di Eropah dan antaranya ialah yang dikenali sebagai “Riparian Right” atau dikenali juga “Riparian Land”. Sistem ini memperuntukkan bahawa penghuni-penghuni yang tinggal di persisiran sungai atau bersebelahan dengan punca air seperti tasik asli, kolam dan saliran semulajadi maka mereka ini layak memperolehi seberapa banyak dan secukup-cukupnya air asli tanpa berubah dari segi kualiti dan kuantitinya.
Penghuni-penghuni tersebut tidak berhak menyekat atau mengurangkan pengaliran asalnya yang boleh menjejaskan penghuni-penghuni lain di sepanjang sungai hingga ke muara. Air sungai atau air tasik tadi tidak boleh dipindahkan dari satu lembah ke satu lembah yang lain kecuali perpindahan dari kolam takongan atau tasik buatan persendirian (artificial lake) sahaja. Apabila bertukar hakmilik, pemilik baru pula berhak ke atas perkara ‘Riparian Right’ tadi. (Undang Undang Pemilikan Air dan Tanah).
|
|
Terakhir dikemaskini Rabu, 01 April 2009 12:13 |